Usaha-usaha mengatasi gejala "mat rempit" dalam kalangan generasi muda
Setelah 20 tahun berlalu, masyarakat terus dibebani dengan masalah keruntuhan moral remaja yang terlibat secara langsung dalam kegiatan "mat rempit". Berdasarkan kajian rawak yang dijalankan oleh sebuah pertubuhan politik, terdapat sekurang-kurangnya 80 000 "mat rempit" di seluruh negara. Walaupun banyak pihak begitu kecewa oleh sikap anak-anak muda yang terlalu menurut nafsu, namun masalah tersebut harus ditangani dengan bijaksana supaya "nasi tidak menjadi bubur".
Langkah menangani masalah ini tidak harus diletakkan di bahu kerajaan khususnya pihak polis sahaja. Pada dasarnya, tingkah laku remaja ini berkaitan dengan asuhan dan didikan yang diterimanya. Justeru dalam hal ini, ibu bapalah orang yang bertanggungjawab membentuk sikap dan tingkah laku anak remaja mereka. Sikap lepas tangan ibu bapa terhadap anak-anak remaja dengan alasan bahawa anak-anak sudah besar, pandai-pandailah mereka menjaga diri hendaklah diubah. Ibu bapa perlu bijak mendekati anak-anak yang sudah besar. Pada peringkat usia ini, remaja perlu didekati dengan nasihat yang penuh berhikmah.
Anggota masyarakat termasuklah organisasi bukan kerajaan dan media massa perlulah mengambil peranan proaktif dalam membantu menangani gejala ini. Pihak media elektronik usahlah hanya pandai menyiarkan aksi-aksi ngeri "mat rempit" dan tindakan polis menahan mereka sahaja, sebaliknya pihak tersebut hendaklah mewujudkan program yang dapat menarik golongan ini meninggalkan kegiatan yang sia-sia itu. Langkah Putera UMNO Malaysia yang mengadakan Kembara Bermotosikal Jelajah Selangor sambil menjalankan kerja amal sepatutnya diberikan sokongan oleh semua pihak.
Memandangkan kegiatan lumba haram ini membabitkan golongan remaja sama ada yang berpendidikan atau tidak, maka pendekatan bersepadu mendekati mereka hendaklah dipelbagaikan agar sesuai dengan latar pendidikan mereka. Tindakan bersepadu yang melibatkan undang-undang dan pendidikan perlu dijalankan serentak. Justeru, selepas mereka dikenakan tindakan undang-undang golongan ini harus diberi motivasi yang berkesan dalam suatu tempoh yang mencukupi untuk menginsafkan mereka. Tindakan seperti memaki hamun atau menyakiti mereka dalam bentuk penderaan mental dan fizikal hendaklah dielakkan. Tindakan seumpama itu se-benarnya hanyalah mengundang tindakan membalas dendam.
Kesimpulannya, seburuk-buruk adab anak-anak kita, ibarat "sebusuk-busuk daging, dibasuh dikincah dimakan jua". Walaupun mereka dilihat sebagai golongan perosak masyarakat, namun membiarkan mereka terus rosak adalah suatu langkah yang tidak bijak. Dengan segala hikmah, kita perlu mengembalikan mereka ke pangkal jalan.
Comments
Post a Comment