Murid cemerlang lazimnya akan berjaya dalam sukan dan cemerlang dalam
akademik. Bincangkan sikap-sikap positif yang perlu ada pada seseorang
murid untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan dan akademik.
Murid
cemerlang hari ini merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara. Murid cemerlang lazimnya akan berjaya dalam sukan dan cemerlang
dalam akademik. Seseorang yang cemerlang biasanya akan mendapat pujian
dan dijadikan sebagai contoh teladan dan pedoman kepada murid-murid yang
lain.
Sekiranya kita ingin mencapai kecemerlangan
dalam dunia sukan dan akademik, maka sikap positif yang ada pada kita
amatlah penting dan perlu diutamakan. Sikap-sikap positif perlulah
dipupuk supaya dapat membentuk murid yang cekap dan berjaya pada masa
hadapan. Pertama sekali, kita haruslah bijak menguruskan masa. Masa itu
emas. Kita haruslah menggunakan masa dengan melakukan aktiviti yang
berfaedah agar kehidupan kita menjadi lebih bermakna. Dengan ini, kita
juga dapat menimba ilmu dan kemahiran dalam bidang sukan dan akademik
dengan lancar.
Selain itu, kita hendaklah mengamalkan
sikap rajin. Kita haruslah berlatih dan belajar bersungguh-sungguh.
Usaha itu tangga kejayaan. Lama-kelamaan, usaha yang kita lakukan akan
membuahkan hasil yang cemerlang dan memuaskan. Tegasnya, sikap rajin
dapat mendorong kita ke arah kejayaan. Di samping itu, kita juga
haruslah sanggup berkongsi kebijaksanaan kita dengan rakan-rakan kita.
Apabila rakan kita menghadapi kesusahan dalam pelajaran, kita wajar
menunjuk ajar rakan kita. Dengan berkongsi ilmu dan kebijaksanaan, kita
dapat belajar bersama-sama, berkongsi pendapat sekali gus merapatkan
silaturahim sesama insan.
Sebenarnya, sebagai murid,
kita mestilah menghormati keluarga, guru, jurulatih dan insan yang sudah
berumur dan dewasa. Kita tidak boleh menidakkan kata-kata mereka
sewenang-wenangnya. Barangkali nasihat mereka amat berguna kepada kita
untuk dijadikan pedoman sepanjang hayat. Jadi, kita haruslah mendengar
nasihat dan menghargai jasa baik mereka. Merekalah yang telah membantu
kita selama ini sama ada secara langsung atau tidak langsung ke arah
kecemerlangan dan kegemilangan hidup.
Kesimpulannya,
kita haruslah mengamalkan sikap-sikap positif dalam kehidupan
sehari-hari untuk mencapai kecemerlangan hidup, khususnya dalam bidang
sukan dan akademik. Setiap murid mestilah berusaha mencapai
kecemerlangan dan kejayaan dalam hidup kerana kitalah pewaris nusa
bangsa menjelang Wawasan 2020.
Comments
Post a Comment