Kasih Sayang Seorang Ibu
Ibu memainkan peranan yang
penting dalam kehidupan setiap keluarga. Kebanyakan anak berasa sungguh
bahagia kerana mempunyai ibu yang prihatin dan penyayang. Oleh itu,
tidak dinafikan bahawa kasih sayang ibu terhadap anak amat penting
sekali.
Sebenarnya, nilai kasih sayang seseorang ibu
tidak dapat diukur dengan wang ringgit. Ibu yang peka dan penyayang akan
senantiasa mengambil berat dan menjaga hal-ehwal kebajikan anak dengan
sempurna, mendorong anak agar berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran
di samping mengutamakan aspek kesihatan dan minat anak-anak. Lumrahnya,
ibu sanggup berkorban untuk kepentingan masa depan anak supaya menjadi
insan yang berguna apabila dewasa kelak.
Sebaliknya,
jika seseorang ibu tidak bersifat penyayang dan kurang bertanggungjawab
maka masa depan anak-anak akan menjadi gelap-gelita. Anak yang
kekurangan perhatian dan kasih sayang seringkali didapati emosi mereka
mudah terganggu sekali gus mendorong mereka mencari jalan keluar dan
mudah bergaul dengan rakan sebaya yang bebas dan liar. Akibatnya, masa
depan anak-anak akan tergugat sekiranya mereka terjerumus ke lembah
dadah, jenayah dan maksiat.
Malangnya, pada alaf moden
ini, terdapat segelintir anak yang sudah dewasa dan berjaya mudah
bersikap “bagai kacang lupakan kulit”. Mereka sanggup membiarkan
kehidupan ibu yang pernah membesarkan mereka di desa pedalaman dalam
keadaan yang tidak terurus, hidup melarat dan kesepian tanpa anak cucu
di sisinya. Oleh itu, pada minggu kedua bulan Mei setiap tahun, tarikh
keramat itu dipilih semata-mata untuk anak-anak meraikan ibu yang
tercinta bersempena dengan Hari Ibu di seluruh negara. Pada hari
tersebut, jasa bakti dan iltizam ibu selama ini diperkatakan, dikenang
dan dihargai.
Kesimpulannya, kasih sayang ibu akan
senantiasa kekal dan berada di sisi anak-anak selagi hayat dikandung
badan. Sesungguhnya, syurga anak di hujung telapak kaki ibu.
THANK YOU THIS IS HELPED ME A Lot to do essay✨
ReplyDelete