ESEI II - POLA AYAT DASAR BM KELAS PERALIHAN
Tajuk:
Kaedah Berproses dalam Pembinaan Ayat Dasar Bahasa Melayu Kelas Peralihan.
Pendahuluan:
Menurut
Kamus Dewan, kata bermaksud ujar atau gabungan atau kesatuan bunyi yang
mengandungi atau menyampaikan pengertian (makna) tertentu manakala
frasa pula merupakan sekumpulan kata yang membentuk unit sintaksis
sesuatu klausa.
Ayat pula bermaksud satu perkataan atau serangkai
perkataan yang merupakan kesatuan yang membawa sesuatu maksud, kalimat
atau beberapa kalimat yang merupakan kesatuan maksud.
Menurut
Tatabahasa Dewan (1993:413), ayat mengandungi unsur klausa, manakala
klausa terbentuk daripada unsur frasa, dan frasa pula terdiri daripada
bentuk-bentuk perkataan. Jadi, ayat terletak pada peringkat susunan yang
tertinggi dalam tatabahasa, manakala perkataan pula terletak pada
peringkat susunan yang paling bawah, seperti dalam rajah berikut:
AYAT:Anak orang itu sedang tidur.
KLAUSA:anak orang itu sedang tidur
FRASA:anak orang itu
sedang tidur
KATA:anak
orang
itu
sedang
tidur
Makalah
ini secara khusus akan menyentuh aspek pembinaan ayat dasar Bahasa
Melayu, iaitu ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua
ayat lain dalam sesuatu bahasa di kalangan murid-murid Kelas Peralihan
melalui teknik pembinaan ayat secara berproses merangkum langkah-langkah
berikut:
i. K - Penyenaraian Kata
ii. F - Pembinaan dan Pembentukan Frasa
iii. A - Pembinaan Ayat
Langkah Pengajaran & Pembelajaran:
Langkah 1:
Penyenaraian Kata:
Guru
meminta murid-murid menyenaraikan kosa kata berdasarkan golongan kata
Bahasa Melayu, yakni Kata Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif dan Kata Sendi
Nama (Kata Tugas).
Contoh:
1. rumah - Kata Nama (KN)
2. makan - Kata Kerja (KK)
3. cantik - Kata Adjektif (KA)
4. dari - Kata Sendi Nama (KSN)
Langkah 2:
Pembinaan dan Pembentukan Frasa:
Guru
meminta murid-murid membina dan membentuk frasa berdasarkan kosa-kosa
kata yang telah disenaraikan untuk membentuk Frasa Nama, Frasa Kerja,
Frasa Adjektif, dan Frasa Sendi Nama.
Contoh:
5. rumah nenek - Frasa Nama (FN)
6. makan nasi - Frasa Kerja (FK)
7. amat cantik - Frasa Adjektif (FA)
8. dari Tanjong Malim - Frasa Sendi Nama (FSN)
Langkah 3:
Pembinaan Ayat Dasar:
Guru
meminta murid-murid menggunakan frasa-frasa yang telah dibentuk untuk
membina ayat dasar yang mudah dan lengkap berdasarkan rumus berikut:
AYAT = SUBJEK + PREDIKAT
9. Rumah nenek di Kampung Berop.
Subjek: Rumah nenek (FN)
Predikat: di Kampung Berop (FSN)
10. Wuang Xing sedang makan nasi.
Subjek: Wuang Xing (FN)
Predikat: sedang makan nasi. (FK)
11. Bunga itu amat cantik.
Subjek: Bunga itu (FN)
Predikat: amat cantik (FA)
12. Pelajar itu dari Tanjong Malim.
Subjek: Pelajar itu (FN)
Predikat: dari Tanjong Malim. (FSN)
Kesimpulan:
Kaedah
pembinaan ayat dasar secara berproses ini merupakan antara usaha yang
dapat membantu para murid Kelas Peralihan untuk memahami konsep kata,
frasa dan ayat secara tidak langsung di samping memudahkan mereka
mencuba membina ayat dasar yang gramatis sebelum mereka didedahkan
kepada ayat tunggal dan ayat majmuk yang lebih mencabar dan tinggi aras
kesukarannya.
Sebagai latihan susulan, pengayaan dan pengukuhan,
guru-guru Bahasa Melayu Kelas Peralihan boleh meminta murid-murid
menyenaraikan kosa-kosa kata, membina dan membentuk frasa dan membina
ayat dasar yang gramatis berdasarkan senarai kata yang tersurat dalam
teks rencana, berita ataupun bahan sastera kanak-kanak yang bersesuaian
dengan aras pemahaman murid-murid.
Comments
Post a Comment