Rasa cinta mampu menjayakan matlamat memperkasakan bahasa Melayu
BAHASA
jiwa bangsa – demikian ungkapan yang acap kali kedengaran setiap kali
kita membincangkan perihal bahasa. Sudah terlalu banyak langkah dan
usaha diambil, namun entah di mana silapnya, hasrat memartabatkan bahasa
Melayu dan meletakkan kedudukannya di persada sepatutnya belum
kesampaian. Daripada acara penggalakan sehinggalah penguatkuasaan
peraturan, semuanya sudah dilakukan, tetapi taraf bahasa Melayu
seolah-olah kian terpinggir di bumi sendiri.
Kepesatan
ledakan teknologi dan himpitan pensejagatan dijadikan alasan mengapa
bahasa Melayu semakin lesu. Pelbagai macam hujah diberikan untuk
menghalalkan kita mengetepikannya. Dakwaan kononnya bahasa Melayu
ketinggalan, miskin perbendaharaan kata, tandus irama, malah kuno
dilemparkan untuk membolehkan bahasa tersebut diperkotak-katikkan tanpa
sekelumit pun rasa bersalah. Paling menyedihkan, semakin ramai kini
menganggap bahasa Melayu tidak canggih. Alangkah sedihnya jika satu hari
nanti ada di antara kita yang malu menuturkannya. Kita sendiri tidak
pasti dari mana munculnya tanggapan sebegitu kerana sebenarnya, bahasa
Melayu berada pada kedudukan keenam paling luas digunakan di dunia
selepas bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Rusia dan India. Hakikat itu,
sekali gus menyangkal apa saja dakwaan yang cuba memperlekehkan bahasa
Melayu. Hal ini sebaliknya, memberikan gambaran jelas bahawa bahasa
Melayu mesti terus diperkasakan demi memastikannya dapat terus tersebar
luas.
Dalam menjayakan matlamat membela, memulihara dan
memperkasakan bahasa Melayu, perkara paling penting yang harus dihayati
ialah rasa kecintaan terhadapnya. Kedudukan bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan saja tidak cukup untuk menjamin bahasa Melayu
didaulatkan. Bahasa ialah perantara perhubungan dalam ketamadunan, maka
sudah tentulah kelangsungan hidupnya bergantung kepada penggunaan. Jika
terbit keinsafan dalam sanubari kita untuk mendalami keindahan dan
kelebihan bahasa Melayu serta menggunakannya dalam urusan seharian,
separuh daripada perjuangan ke arah itu sudah pun tercapai.
Sebenarnya,
tiada cacat celanya bahasa Melayu, sebaliknya yang bermasalah ialah
diri kita sendiri yang sering memandang rendah terhadapnya. Janganlah
sampai dalam perkara membabitkan bahasa Melayu pun kita terpaksa
menunggu orang asing menyanjungnya terlebih dulu baru kita mahu berbuat
yang sama. Budaya ikut-ikutan dalam mengiktiraf kelebihan kita seperti
ini harus dikikis. Natijah budaya ikut-ikutan itulah yang menyebabkan
kita hari ini tidak segan silu memperkecil bahasa Melayu dan
mengaitkannya dengan bermacam-macam tanggapan buruk. Memang dasar,
perundangan dan penguatkuasaan membantu usaha mendaulatkan bahasa
Melayu, tetapi usaha tersebut hanya penyebab sampingan saja. Jaminan
sebenarnya perlu datang dalam diri setiap daripada kita yang mempunyai
jiwa sebagai bangsa yang mencintai bahasanya.
Comments
Post a Comment