Membaca Jambatan Ilmu
Slogan “Membaca
Jambatan Ilmu” sering kali kita gunakan untuk menunjukkan betapa
pentingnya amalan membaca dalam usaha kita mencari ilmu pengetahuan.
Membaca merupakan antara kegiatan yang amat penting dalam kehidupan
manusia di samping mampu membangunkan dan memajukan sesuatu masyarakat.
Insan
yang berbudaya membaca merupakan manusia yang berilmu. Minat membaca
berkait rapat dengan budaya ilmu kerana minat ini mampu melonjakkan
pembangunan dan kemajuan dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia yang
berorientasikan sains dan teknologi.
Amalan membaca
perlu dijadikan suatu budaya dalam kehidupan masyarakat kita. Budaya ini
pula tidak seharusnya terbatas di sekolah, kolej atau universiti
semata-mata tetapi juga patut dikembangluaskan dalam kehidupan
masyarakat termasuklah masyarakat di luar bandar. Hal ini penting agar
masyarakat luar bandar yang sering dikaitkan seperti katak di bawah
tempurung akan dapat menimba dan menambahkan ilmu pengetahuan dan
pengalaman agar mereka tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dan
pembangunan global.
Seseorang individu atau sesuatu
bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak
berdaya tahan sekiranya ketandusan atau kemunduran dalam buana ilmu
yang bermutu dan mutakhir. Sebaliknya, masyarakat yang ketinggalan atau
yang mengabaikan budaya ilmu akan bergantung harap kepada orang atau
bangsa lain yang berilmu dan cendekia. Buktinya kita dapat melihat
betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir
dalam semua aspek penting kehidupan negara masing-masing kepada negara
lain yang lebih maju dan dominan dalam bidang keilmuan dan kepakaran.
Akhir
kata, ingin saya tegaskan bahawa kehidupan yang lebih sempurna akan
dapat dibentuk sekiranya masyarakat kita membudayakan amalan membaca
dalam kehidupan mereka sehari-hari. Amalan murni ini secara langsung
akan melahirkan modal insan dan masyarakat Malaysia yang berilmu,
berwawasan dan bertamadun tinggi.
Comments
Post a Comment