SAJAK
Puisi Melayu moden, berbentuk bebas dan tidak terikat
pada jumlah baris, perkataan sebaris, suku kata sebaris, rangkap, rima
dan sebagainya.
Tema - Persoalan pokok atau persoalan utama yang
dikemukakan dalam sesebuah puisi. Tema boleh juga diertikan sebagai idea
pusat atau idea dasar.
Contoh - Perpaduan.
Persoalan -
Hal-hal yang dipersoalkan dalam sesebuah karya (sajak) untuk memantapkan
tema. Contoh persoalan – Hubungan kerjasama, amalan saling menghormati
dan perasaan muhibah antara kaum yang menyokong tema perpaduan.
KEINDAHAN BAHASA:
Metafora
- Gaya bahasa kiasan atau perbandingan. Sifat gaya bahasa ini ringkas,
padat, tersusun rapi dan biasanya terdiri daripada dua perkataan. Satu
daripada perkataan itu bersifat konkrit, iaitu nyata (maujud) dan
menjadi objek untuk difikirkan. Satu perkataan lagi bersifat abstrak
(mujarad), iaitu tidak nyata, yang menjadi pembanding. Contohnya – kamar
cinta, buana derita, perahu waktu dan sebagainya.
Personifikasi -
Gaya bahasa yang memberikan keadaan, suasana dan benda bersifat
manusia. Pengorangan. Contoh: sepi menggigit , hatinya menangis dan
sebagainya.
Perulangan - Gaya bahasa dalam puisi yang terdapat pengulangan perkataan, ungkapan, baris dan juga rangkap.
Contoh
Bila kita bertemu
Jangan kaurebahkan diri
Di atas ranjang kenangan
Kerana untuk merenangi semula
Tasik ingatan itu
Bila kita bertemu
Biarlah kita berdepan
Bagi sepasang kekasih
Mencari tapak kekuatan masa kini
Anafora
- Gaya bahasa yang mengulang satu perkataan atau lebih pada awal baris
puisi. Pengulangan ini menimbulkan kesan keindahan bunyi dan bertujuan
untuk menguatkan pernyataan maksud.
Contoh:
Kasihku subur dalam mata keluarga
Kasihku luhur dalam hati isteri setia
Kasihku hidup dalam pelukan padi di sawah
Epifora
- Gaya bahasa yang mengulang perkataan pada akhir baris puisi yang
bertujuan untuk menegaskan maksud dan menimbulkan keseragaman rima
(skema atau susunan bunyi dalam baris-baris puisi).
Contoh
Fajar hilang ditelan enjin dan sibuk kota
Tawaku kemarau di dada kota
Inversi - Ayat songsang, sama ada songsang sebahagian atau songsang penuh.
Contoh
Terasa dingin sekali angin, Angin terasa dingin sekali
Responsi
Contoh
Tenaga yang sedang gilang-gemilang, Beban yang berat dapat dijulang
Sinkop
Pemendekan atau penyingkatan sesuatu kata.
Contoh
kubaca warkah cintamu
Aliterasi
- Pengulangan huruf/bunyi konsonan yang sama dalam baris-baris sajak;
biasanya pada awal perkataan yang berturutan. Pengulangan menimbulkan
kesan keindahan bunyi. Contoh:
kurenungi kemurnian kehidupan
Asonansi
- Pengulangan bunyi vokal (a, e, i, o, dan u) yang sama pada perkataan
yang berturutan dalam baris-baris puisi. Pengulangan begini menimbulkan
kesan kehalusan, kelembutan, kemerduan atau keindahan bunyi.
Contoh:
buana cinta bahagia
Melankoli - Nada atau suasana yang terpancar daripada sesebuh puisi seperti nada murung, hiba dan sayu.
Jeda
- Proses pembacaan sama ada senyap mahupun kuat terutama sewaktu
mendeklamasikan puisi. Lazimnya jeda bermaksud pemberhentian seketika
arus penuturan atau pendeklamasian sesuatu baris puisi untuk menandakan
batas hubungan antara bahagian perkataan, frasa atau kalimat yang
terdapat dalam sesuatu baris itu. Jeda juga memberikan ruang kepada
seseorang pendeklamasi mengambil nafas terutama apabila mendeklamasikan
sesuatu kalimat yang panjang.
Simili - Gaya bahasa yang
membandingkan sesuatu benda, keadaan atau suasana dengan jelas. Ini
kerana perbandingan itu menggunakan kata-kata tertentu, iaitu bagai,
seperti, bak, laksana, dan umpama.
Contoh:
halus bagai jari-jari perawan
Hiperbola - Gaya bahasa puisi yang pemilihan perkataannya membawakan pernyataan yang berlebih-lebihan.
Contoh:
api marah kian menyemarak
DIKSI
Pemilihan
serta penyusunan perkataan yang mengutamakan ketepatan, tekanan dan
keistimewaan puisi. Ini termasuklah sifat perkataan tersebut seperti
denotatif (perkataan yang bermakna selapis atau tersurat), konotatif
(berkaitan dengan hal-hal peribadi seseorang sama ada yang riang,
gembira, manis mahupun pahit – bunga bermaksud gadis atau kupu-kupu
malam membawa konotasi perempuan yang rendah akhlak), bahasa kiasan
(bahasa figuratif, iaitu bahasa penyair untuk mengemukakan sesuatu
perasaan dan pemikiran secara bandingan atau secara tidak langsung –
ombak kehidupan), perkataan yang menggunakan imbuhan dan sebagainya.
Comments
Post a Comment