PENGAJARAN TATABAHASA
Baru-baru ini beberapa orang guru
termasuklah guru pelatih yang sedang menjalani latihan praktikum telah
menanyakan soalan tentang teknik atau cara untuk mengajarkan tatabahasa
kepada murid-murid. Mereka mengatakan bahawa kebiasaannya murid-murid
kurang berminat untuk belajar tatabahasa.
Pengajaran
tatabahasa yang dijalankan di dalam kelas selalunya kurang menarik dan
membosankan murid-murid, malahan ada juga guru yang kurang berminat
untuk mengajar murid dalam bahagian ini. Fenomena yang biasanya didapati
di sekolah ialah pengajaran tatabahasa diajarkan secara induktif. Hal
ini bermakna aspek tatabahasa diajarkan secara langsung dengan
menerangkan hukum atau rumus tatabahasa iaitu sesuatu yang khusus
terlebih dahulu, kemudian barulah dibincangkan contoh-contohnya yang
umum. Sepatutnya pengajaran tatabahasa boleh dipelbagaikan bentuknya.
Oleh itu, guru-guru perlu kreatif untuk memilih teknik pengajaran yang
menarik dan bekesan kepada murid-murid. Bagi murid pula, mereka
kebiasaannya kurang berminat untuk belajar tatabahasa kerana menganggap
perkara itu menyusahkan tambahan pula teknik yang digunakan tidak
menarik perhatian murid.
Sebenarnya banyak teknik yang
boleh digunakan untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid.
Seelok-eloknya guru harus berbincang dengan pelajar itu sendiri tentang
teknik yang disukai oleh mereka. Dengan berdasarkan pengalaman saya
sendiri, murid-murid lebih berminat dengan teknik yang menarik seperti
nyayian dan nasyid, lakonan, dialog, kuiz serta forum. Oleh itu, antara
teknik yang menarik dan sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran
tatabahasa adalah menerusi teknik nyayian. Jadi, perkara penting yang
perlu diberikan perhatian oleh guru ialah teknik tersebut perlulah
menarik perhatian pelajar dan tidak membosankan mereka. Selain itu,
teknik pengajaran juga perlu berpusatkan pelajar dan guru cuma menjadi
fasilitator atau pembimbing mereka. Pendekatan yang selalu dicadangkan
oleh pakar-pakar pengajaran tatabahasa adalah dengan menggunakan
pendekatan deduktif iaitu bermula dengan generalisasi atau
contoh-contoh, kemudian barulah dibincangkan rumus atau peraturan yang
khusus.
Seperti yang telah dinyatakan tadi, antara
teknik pengajaran tatabahasa yang menarik dan tidak membosankan pelajar
ialah teknik nyanyian atau lagu. Hal ini demikian kerana, banyak lagu
yang mengandungi lirik yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran. Di
samping menyanyikan lagu, murid-murid diminta merujuk lirik lagu. Oleh
itu, guru perlu menyediakan lirik lagu tersebut terlebih dahulu dan
mengedarkannya kepada pelajar. Berikan arahan dan bincangkan tugasan
yang perlu dibuat oleh mereka selepas menyanyikan lagu tersebut. Sebagai
contohnya, guru-guru boleh meminta murid menyenaraikan jenis-jenis kata
yang terdapat dalam lirik lagu itu seperti kata nama, kata kerja, kata
adjektif dan kata sendi. Selain itu, gunakan lirik lagu untuk mengesan
kesalahan tatabahasa untuk mengelakkan rasa bosan para pelajar untuk
mempelajari tatabahasa.
Selain lirik lagu, guru-guru
juga boleh menggunakan sajak untuk membincangkan aspek tatabahasa yang
terdapat dalam sajak tersebut. Sebagai contohnya, gunakan sajak Harga
Remaja (Antologi Harga Remaja) untuk membincangkan aspek penggolongan
kata di samping kata kerja. Oleh itu, selain aspek-aspek sastera dan
maksud sajak, murid-murid juga boleh menggunakan sajak itu untuk belajar
tatabahasa secara tidak langsung. Walau bagaimanapun, guru-guru perlu
merancang dan mengkaji aspek tatabahasa yang hendak dibincangkan semasa
proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan.
Selain
teknik nyanyian, guru-guru juga boleh menggunakan keratan akhbar atau
majalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Karya-karya komsas selain
sajak seperti cerpen, prosa tradisional, novel, pantun, syair dan
gurindam juga boleh digunakan untuk pegajaran tatabahasa. Hal ini
bermakna, semasa pengajaran komponen sastera, guru-guru juga boleh
menyelitkan aspek tatabahasa dalam perbincangan pelajar. Dengan kata
lain, pengajaran tatabahasa tidak diajarkan secara langsung tetapi
secara tidak langsung. Hal ini dapat mengurangkan masalah kebosanan dan
kurang minat murid untuk belajar tatabahasa.
Bagi
pelajar-pelajar tingkatan 6, guru-guru perlu menggunakan keratan akhbar,
majalah atau risalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Jadi secara
tidak langsung, pelajar-pelajar mendapat manfaat yang berganda iaitu
selain memahami atau mencari isi penting daripada petikan itu, mereka
juga dapat mengesan kesalahan-kesalahan bahasa yang terdapat di
dalamnya. Sekurang-kurangnya teknik ini kuranglah membosankan pelajar
kerana guru telah menetapkan fokus yang hendak dibincangkan daripada
sesuatu bahan atau petikan tersebut. Di samping itu, guru juga boleh
menyelitkan aspek tatabahasa ini setiap kali semasa membincangkan
karangan, rumusan karangan, dan juga semasa mengalih bentuk teks.
Perkara ini perlu dilakukan kerana setiap latihan yang dinyatakan itu
tadi melibatkan aspek tatabahasa. Sebagai contohnya, semasa menulis
karangan, rumusan karangan dan mengalih bentuk teks, pelajar-pelajar
terpaksa membina ayat yang melibatkan aspek tatabahasa. Hal ini juga
menunjukkan bahawa pengetahuan pelajar dalam Kertas 1 perlu
diaplikasikan dalam Kertas 2.
Comments
Post a Comment