Tulislah suatu karangan berdasarkan ungkapan “Ilmu pelita hidup”.
“Ilmu
pelita hidup”. Kita mestilah menghayati ungkapan ini dan mendapatkan
ilham untuk belajar bersungguh-sungguh. Amalan membaca memberi manusia
pengetahuan yang mendalam. Sejak zaman kanak-kanak lagi, minat membaca
sewajarnya kita pupuk untuk menyuntikkan semangat cinta akan bahan
bacaan.
Kita perlulah menyemaikan amalan membaca untuk
membolehkan kita meluaskan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Sekiranya
kita jarang mengamalkan budaya membaca, maka kita akan ketinggalan dalam
buana ilmu dan kemahiran. Barangkali, kita akan diperli atau
diketawakan oleh kawan-kawan sehingga diri kita dianggap sebagai katak
di bawah tempurung. Hal ini akan mempengaruhi dunia kehidupan kita dan
seterusnya akan menjejaskan masa depan kita.
Sebenarnya,
dunia ilmu amat penting kepada pelbagai lapisan rakyat dalam sesebuah
negara. Ilmu dapat membantu pelajar semasa menghadapi dunia peperiksaan.
Bagi orang dewasa pula, ilmu membolehkan mereka menguasai kemahiran dan
keperluan tugas masing-masing dengan mudah dan berkesan. Oleh itu, kita
haruslah senantiasa membaca pada setiap masa agar masa depan kita
terjamin bak kata slogan, yakni bangsa membaca, bangsa berjaya.
Dewasa
ini, masyarakat moden kian giat memburu dunia kerjaya yang menawarkan
sumber pendapatan yang lumayan. Oleh sebab itu, sebagai pesaing yang
berpotensi di dunia yang serba mencabar ini, kita perlu menimba ilmu
melalui bahan bacaan yang bermutu dan bermanfaat. Dengan berbekalkan
ilmu dan kemahiran, maka kita lebih mudah untuk memperoleh kerjaya yang
membanggakan.
Kita dapat mengisi masa lapang dengan
membaca surat khabar, makalah atau majalah yang bermutu dan berfaedah.
Usaha yang baik ini membolehkan kita menjauhkan diri daripada
aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti bergentayangan di pusat
beli-belah, terlibat dalam kegitan samseng jalanan dan sebagainya. Masa
lapang perlu kita isi dengan bahan-bahan bacaan ringan atau bahan yang
bersifat ilmiah untuk membantu proses pembelajaran dan pengajaran sama
ada di dalam bilik darjah atau di luar sekolah.
Sesungguhnya,
ilmu yang kita peroleh melalui bahan bacaan umpama pelita hidup yang
bakal menerangi dunia kerjaya dan kehidupan kita di alam sarwajagat yang
serba canggih dan mencabar ini. Bacalah kita untuk memperoleh ilmu
kerana ilmu pelita hidup.
Comments
Post a Comment