REMAJA dan BUDI BAHASA
Chai Loon Guan.
Pepatah pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara jelas memberikan gambaran betapa golongan
remaja merupakan khazanah sumber manusia yang cukup penting kepada
pembangunan, kemajuan dan masa depan bangsa dan negara. Menurut
bausastera Dewan, remaja bermaksud golongan yang mulai dewasa, sudah
akil baligh dan bersinonim dengan frasa, yakni remaja puteri atau remaja
putera. Jelaslah bahawa masa depan dan maju mundurnya negara bangsa
banyak bergantung harap kepada modal insan dalam kalangan remaja kerana
di pundak merekalah bakal dipikul tanggungjawab berat, iltizam dan
amanah untuk memajukan bangsa dan negara sekali gus merealisasikan
wawasan perdana – Wawasan 2020!
Namun begitu perkembangan semasa
dan kelangsungan pelbagai isu yang sering dipaparkan oleh media massa,
khususnya media cetak dan media elektronik belakangan ini jelas telah
banyak menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat kita pada hari
ini. Berita tentang golongan remaja bertindak liar di luar batas-batas
kesopanan dan kesusilaan, bergentayangan dan hidup bergelumang dengan
aktiviti jenayah dan kegiatan-kegiatan yang tidak berakhlak cukup
mengejutkan ibu bapa, masyarakat umum dan kerajaan. Oleh sebab itu, kita
perlu mengenal pasti sebab-musabab atau punca akar masalah yang semakin
menular dalam jagat kehidupan masyarakat majmuk Malaysia, khususnya
rempah ratus dan dunia kehidupan golongan remaja kita dewasa ini.
Barangkali
ada benarnya, kesibukan ibu bapa dalam mencari rezeki hidup dan memburu
dunia kebendaan saban hari sehingga mereka yang sering terbelenggu dek
tekanan hidup terlepas pandang akan kepentingan kasih sayang dan
kebajikan anak-anak merupakan antara punca berlakunya kepincangan dan
kebobrokan akhlak remaja kita pada hari ini. Selain itu, kekurangan
didikan moral dan agama, sistem pendidikan dan institusi masyarakat yang
terlalu mengutamakan atau mengagung-agungkan kejayaan dan kecemerlangan
akademik semata-mata tanpa memberikan perhatian yang seimbang kepada
perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) anak-anak remaja
turut merancakkan keberleluasaan gejala sosial dalam kehidupan kita
sehari-hari.
Justeru, penerapan salah satu nilai murni kehidupan,
yakni nilai budi bahasa dianggap amat penting dalam usaha kita untuk
melahirkan modal insan yang sempurna akhlaknya dan mempunyai kekuatan
jati diri peribadi serta perilaku mulia dan terpuji sekali gus sebagai
asas budaya hidup remaja khasnya dan masyarakat majmuk Malaysia amnya.
Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat di negara ini, terutamanya
masyarakat Melayu pada asasnya sememang kaya akan amalan berbudi bahasa
dan kesantunan bahasa. Antaranya termasuklah yang muda menghormati yang
tua, anak murid menghormati guru, yang kaya menolong yang miskin, dan
sebagainya.
Amalan yang diperturunkan sejak zaman-berzaman ini
adalah selaras dengan peribahasa yang berbunyi "melentur buluh biarlah
daripada rebungnya" . Hal ini bermakna bahawa amalan ini perlu dipupuk
sejak kecil lagi. Terbitnya pandangan bahawa amalan berbudi bahasa perlu
dipupuk sejak bangku sekolah lagi tercetus daripada fenomena lunturnya
amalan ini dalam kalangan generasi remaja dan muda-mudi pada era
globalisasi ini.
Umumnya, masyarakat hari ini lebih menekankan
aspek kebendaan atau materialisme. Hal ini sekali gus meminggirkan
nilai-nilai moral seperti berbudi bahasa, hormat-menghormati, bertolak
ansur dan sebagainya. Justeru terbitlah keperluan untuk menerapkan
nilai-nilai ini dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja.
Ibu bapa dan guru-guru haruslah berganding bahu dengan masyarakat untuk
sama-sama memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi
anak-anak remaja yang boleh kita ibaratkan seperti sehelai kain putih
yang mudah menerima dan seterusnya mengamalkan nilai-nilai budi bahasa
yang terpuji. Generasi remaja perlu digalakkan untuk mengamalkan dan
menerapkan budi bahasa dan nilai-nilai murni sama ada dalam aspek
komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan atau dalam perlakuan dan
pergaulan dalam institusi kekeluargaan, institusi kemasyarakatan,
institusi pembelajaran dan institusi perkhidmatan.
Dalam
institusi kekeluargaan misalnya, remaja perlu dididik dan dibimbing agar
membiasakan diri dengan bertutur dengan baik dan betul serta mempunyai
kelakuan yang terpuji. Hubungan antara adik-beradik disusun oleh aturan
kelahiran, yakni daripada yang sulung kepada yang tengah dan yang
bongsu. Yang muda mestilah menghormati kakak dan abang dengan memanggil
secara baik gelaran atau pangkat yang lazimnya dalam masyarakat. Begitu
juga hubungan darah dan perkahwinan dengan saudara mara sebelah ibu dan
bapa, mertua dan ipar dan sebagainya hendaklah berasaskan rasa hormat,
sopan dan santun melalui tegur sapa dan panggilan pangkat mereka.
Sementara
itu, dalam institusi kemasyarakatan pula, remaja perlu memahami
hubungan antara yang tua dengan yang muda, yakni sentiasa berada dalam
suasana hormat-menghormati, sayang-menyayangi dan bertatasusila. Dalam
kehidupan bermasyarakat, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat
majmuk dan berbilang ras dan agama di negara kita, golongan remaja perlu
senantiasa menggunakan tutur kata yang sopan, mempunyai fiil yang halus
dan berpekerti yang mulia. Antaranya, remaja haruslah senantiasa
mengutamakan nilai-nilai bekerjasama, semangat gotong-royong dan
menghormati orang lain. Sesungguhnya, sebagai anggota masyarakat yang
berbudi, remaja perlu menunjukkan perangai, kelakuan serta peribadi yang
baik seperti bersabar, bertimbang rasa dan sentiasa tahu menjaga diri
daripada pelbagai macam kelakuan buruk yang tidak dipersetujui oleh
masyarakat.
Remaja juga perlu senantiasa berbudi bahasa dan
berkelakuan baik, teratur dan sejahtera dalam institusi pembelajaran.
Sebagai warga ilmu, mereka perlu berdisiplin, bertegur sapa dengan
hormat, berbahasa sopan, bersedia memohon maaf, mentaati peraturan
sekolah dan menjaga kebersihan dan kesihatan bak kata pepatah "minda
yang cerdas berada pada badan yang cergas". Remaja pelajar juga perlu
saling menghormati sesama rakan, membiasakan diri mengucapkan salam atau
ucap selamat, menghargai perbezaan agama, menghargai idea, buah fikiran
dan pendapat rakan sebaya dan bantu-membantu ibarat berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing. Sikap positif sedemikian bukan sahaja dapat
mengeratkan silaturahim bahkan juga dapat menyemaikan bebenih perpaduan
dan muhibah dalam kalangan masyarakat yang berbilang ras dan agama di
negara ini.
Sebagai generasi pelapis dan bakal menjadi umarak
bangsa dan negara pada masa depan, remaja pada hari ini perlu juga
didedahkan dengan nilai-nilai kepemimpinan dan kepimpinan yang baik dan
berbudi di samping mengutamakan kemesraan dan semangat kerja keras,
gigih berusaha, telus, amanah, teladan yang baik, berhemah, adil dan
berintegriti serta bantu-membantu untuk mencapai matlamat pasukan atau
organisasi. Sebagai rakan sepasukan atau rakan sekerja pula, generasi
remaja perlulah menunjukkan budi pekerti yang mulia, berbahasa halus dan
bertimbang rasa untuk bersama menjalankan kerja yang bermutu, membina
kesatuan organisasi dan juga mencapai matlamat, visi dan misi pasukan
atau organisasi.
Sesungguhnya, masyarakat yang maju tanpa amalan
nilai-nilai moral, khususnya budi bahasa dapat diibaratkan seperti
seorang manusia tanpa roh. Pembangunan dan kemajuan fizikal setinggi
manapun tidak bermakna tanpa budi bahasa atau budi pekerti terpuji dalam
kalangan anggota masyarakatnya, lebih-lebih lagi golongan remaja yang
bakal menjadi tonggak harapan bangsa dan negara kelak. Sebenarnya,
penekanan dan penerapan budi bahasa dan kesantunan bahasa akan membantu
mendidik anak-anak remaja cara-cara untuk berinteraksi dengan orang
dewasa dan sesama mereka sendiri. Dengan ini, secara beransur-ansur
generasi remaja akan tahu berbudi bahasa terhadap ibu bapa, guru, dan
orang yang lebih tua. Amalan murni ini juga merupakan sebahagian
daripada hidup bermasyarakat dan diharap dapat dipupuk dan disemaikan
dalam jiwa sanubari anak-anak remaja agar dapat berkekalan selagi hayat
dikandung badan. Kita tidak mahu situasi yang menggambarkan generasi
remaja jahil untuk menghormati golongan tua wujud, sebagaimana sering
kita temui dalam kehidupan moden dewasa ini. Tidak ada gunanya jika
masyarakat Malaysia kaya akan dunia kebendaan tetapi muflis akan nilai
keperibadian dan budi pekerti mulia. Sesungguhnya, keluhuran budi
pekerti mulia dirilah yang menjadi kayu pengukur kejayaan dan
kecemerlangan seseorang. Tiada gunanya seseorang itu memiliki ijazah
berjela-jela dan harta kekayaan yang bertimbun-timbun sekiranya dia
sentiasa dibayangi perasaan sombong, kurang ajar dan meniti keruntuhan
akhlak yang menyayatkan hati di penghujung kehidupannya yang terasing,
bercelaru dan vakum.
Kalau ribut runduklah padi,
Padi cupak Datuk Temenggung;
Kalau hidup tidak berbudi,
Duduk tegak berdiri condong.
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.
Justeru,
generasi remaja perlulah senantiasa hidup berbudi bahasa. Budi bahasa
ialah asas kehidupan yang bermaruah dan bertamadun ke arah melahirkan
modal insan yang berilmu, berakhlak dan berketrampilan sekali gus
merealisasikan negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang di
persada antarabangsa!
Comments
Post a Comment