Cara-cara meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.
Budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah anda masih belum
mencapai tahap yang memuaskan. Anda sebagai pustakawan sekolah ingin
mencadangkan cara-cara meningkatkan amalan membaca dalam kalangan
pelajar.
Tulis cadangan anda itu.
Dewasa ini,
amalan membaca dalam kalangan pelajar di sekolah saya masih belum boleh
dibanggakan. Kebanyakan pelajar beranggapan bahawa membaca itu hanya
sekadar membuang masa dan membosankan. Sebenarnya, amalan membaca buku
banyak membawa manfaat kepada pelajar. Melalui pembacaan, penguasaan
bahasa dan ilmu seseorang akan bertambah bak kata pepatah membaca
jambatan ilmu. Kini, terdapat banyak buku yang telah diterbitkan dalam
pelbagai bahasa.
Pertama sekali, sebagai pustakawan,
saya perlu menggalakkan pelajar-pelajar mengamalkan tabiat membaca. Ibu
bapa turut berperanan untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca. Ibu
bapa harus menjadi teladan yang baik kepada mereka. Mereka wajarlah
membaca surat khabar, majalah, buku cerita, jurnal dan lain-lain. Ibu
bapa juga boleh mengadakan perpustakaan mini atau sudut bacaan di dalam
rumah mereka untuk mendedahkan anak mereka dengan persekitaran membaca.
Tabiat membaca harus dipupuk dari kecil lagi bak kata pepatah melentur
buluh biarlah dari rebungnya.
Di samping itu, guru juga
memainkan peranan dalam usaha memupuk amalan yang berfaedah ini.
Guru-guru boleh menjalankan pelbagai aktiviti pengajaran berdasarkan
bahan bacaan ataupun menganjurkan pertandingan yang dapat merangsang
minda pelajar seperti pertandingan membaca, bercerita, bersyarah dan
lain-lain. Pihak sekolah haruslah mengadakan kempen kesedaran untuk
menggalakkan pelajar untuk membaca pada masa lapang. Ceramah juga harus
diberikan kepada pelajar untuk menyedarkan mereka dari semasa ke semasa.
Dengan ini, pelajar-pelajar digalakkan untuk meminjam buku di samping
memupuk amalan membaca di hati sanubari mereka.
Seterusnya,
Kementerian Pelajaran Malaysia juga memainkan peranan penting untuk
memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam yang
berasaskan budaya membaca amat wajar dilaksanakan secara proaktif di
sekolah. Program ini akan membolehkan setiap pelajar membaca dan
meluangkan masa lapang mereka di pusat sumber sekolah. Program ini bukan
sahaja dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan pelajar, malahan
dapat memberikan peluang dan motivasi kepada pelajar untuk berpidato
atau bercerita di atas pentas sekali gus melahirkan keyakinan diri.
Akhirulkalam,
amalan membaca dalam kalangan pelajar memerlukan kerjasama dan iltizam
daripada semua pihak. Oleh itu, marilah kita berganding bahu untuk
melahirkan warga pelajar yang rajin membaca kerana remaja pada hari ini
merupakan bakal pemimpin yang berwawasan pada masa hadapan.
Comments
Post a Comment